KUALA LUMPUR, 13 Feb -- Seramai 240 peserta Program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan Negara (MFLS) peringkat tiga tidak dapat menyembunyikan keterujaan apabila berpeluang menimba pengalaman menjalani latihan simulasi perbahasan di Parlimen, hari ini.
Bagi peserta, Abdul Halim Baruddin,18, menerusi program sehari dinamakan Suara Belia itu dilihat sebagai platform memperbaiki dan mengasah kemahiran berbahas dalam kalangan anak muda bagi melahirkan pemimpin cemerlang pada masa akan datang.
"Menerusi aktiviti ini kami berpeluang merasai sendiri keadaan sebenar berdebat di Parlimen dan menunjukkan potensi masing-masing dalam arena perdebatan sekali gus diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda," katanya pada sesi ‘luncheon talk’ sempena program itu, yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Lee Zi Yu,18, pula berkata aktiviti tersebut menjadikan mindanya lebih terbuka dan lebih memahami tentang latar belakang, peranan dan kepentingan Parlimen dalam menggubal undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
"Saya juga percaya peluang seperti ini dapat meningkatkan keyakinan diri peserta dan merupakan platform yang tepat untuk menggunakan kemahiran komunikasi yang dipelajari," katanya yang berasal dari Pulau Pinang.
Suara Belia merupakan antara aktiviti program MFLS peringkat ketiga bermula 31 Jan lepas sehingga 12 Mac ini, bertujuan melahirkan pemimpin belia yang boleh menyumbang sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara serta berkeupayaan berperanan di peringkat antarabangsa di samping membentuk generasi belia lebih berwawasan dan tinggi nilai jati diri.
MFLS dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Institut Pembangunan Kecemerlangan dan Kepimpinan (i-Lead).
Sementara itu, Ketua Pengarah i-Lead, Abdullah Hassan berharap agar peserta dapat memanfaatkan peluang tersebut untuk mencungkil potensi diri dalam membentuk keperibadian pemimpin yang unggul.
"Anak muda pada masa kini menghadapi situasi lebih mencabar dan menjadi tanggungjawab kita dalam membantu menyediakan diri mereka dengan kemahiran serta memperkaya diri dengan ciri kepimpinan," katanya. -- BERNAMA
Kemaskini terakhir pada: 14 Februari 2020 | Hits: 21497