PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
DUA SENATOR DILANTIK SEBAGAI AHLI DEWAN NEGARA
BERKUATKUASA HARI INI
Dua Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara berkuatkuasa mulai 10 Disember 2022 hingga 9 Disember 2025 di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim hari ini.
Mereka ialah Pengerusi Biro Institut Latihan Parti Keadilan yang juga mantan Ahli Parlimen Kuantan, YB Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang diumumkan Perdana Menteri semalam.
Kedua ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, YB Senator Puan Saraswathy a/p Kandasamy yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Tan Sri Rais dalam ucapannya menegaskan agar para senator meneliti sumpah setia yang dilafazkan iaitu kewajipan segala daya usaha dan keupayaan dilaksanakan bagi menjalankan tugas. Kedua, menumpahkan taat setia kepada tanah air dan memelihara, melindungi serta mempertahankan perlembagaannya.
Tan Sri Rais turut menyeru agar para senator sentiasa menzahirkan sumpah setia tersebut dengan hadir semasa menjawab soalan dan semasa diperlukan sepanjang Dewan Negara bersidang. - TAMAT
10 Disember 2022
Parlimen Malaysia
Kuala Lumpur
Kemaskini terakhir pada: 10 Disember 2022 | Hits: 4275