Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat Parlimen Ke-15
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

     KENYATAAN MEDIA  
 

LEBIH RM10 BILION DANA KERAJAAN UNTUK RAWATAN NCD

OLEH

YANG BERHORMAT TUAN SUHAIZAN BIN KAIAT

PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS KESIHATAN

DEWAN RAKYAT PARLIMEN KE-15

 

 

Semasa peniaga menyediakan juadah atau pelanggan berselera memilih makanan yang kurang bernutrisi di restoran, warong tepi jalan atau hotel berstatus 5 bintang, pasti tidak terlintas dalam fikiran mereka bahawa kerajaan terpaksa menanggung lebih RM10 bilion akibat daripada tabiat pemakanan yang tidak sihat.

 

Jumlah dana sebesar ini sepatutnya digunakan untuk membina semula sekolah uzur di luar bandar, menyediakan kemudahan hospital yang selesa kepada pesakit kronik mendapat rawatan, membina lebuh raya 4 lorong untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas hujung minggu atau membantu fakir miskin yang memerlukan sesuap nasi untuk hidup.

 

NCD (Non-Communicable Diseases) merupakan penyakit tidak berjangkit dan berpunca daripada tabiat makan buruk masyarakat, gaya hidup tidak sihat, tiada senaman, meminum arak, menghisap rokok dan stress . Contoh penyakit NCD adalah seperti penyakit jantung, diabetes (kencing manis), stroke (angin ahmar), hipertensi (darah tinggi) dan kanser.

 

Kos rawatan pada tahun 2017 bagi penyakit diabetes adalah sebanyak RM4.38 bilion, hipertensi dan sakit jantung sebanyak RM3.93 bilion, dan kanser sebanyak RM1.34 bilion. Jumlah keseluruhan jumlah perbelanjaan rawatan bagi 4 penyakit tersebut, sebanyak RM9.65 bilion. Selepas Covid-19, kos rawatan NCD semakin meningkat dan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital semakin bertambah. Hospital kerajaan menjadi sesak. Trend yang sangat membimbangkan ini boleh menjejaskan petugas serta fasiliti kesihatan dan pembangunan negara secara umumnya.

 

Tabiat buruk makan iaitu memilih makan tidak bernutrisi, berlebihan atau terlalu kurang makan perlu dinoktahkan bermula di peringkat kanak-kanak lagi. Rakyat perlu dibimbing sejak kecil untuk mengambil makanan yang seimbang demi menjaga kesihatan. Seterusnya ini dapat mengoptimumkan dana kerajaan dalam jangka masa panjang. Langkah-langkah pencegahan dan penerangan ini perlu dilaksanakan oleh semua pihak.

 

YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, semasa menjawab soalan di Parlimen pada 15hb Oktober 2024, telah mengumumkan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-kanak Malaysia (2023-2030). Semua ahli Parlimen telah menerima dokumen pelan strategik ini. Menteri Kesihatan juga telah menyerahkan dokumen ini terus kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Parlimen Malaysia.

 

17 OKTOBER 2024


 

 




Kemaskini terakhir pada: 24 Oktober 2024 | Hits: 442

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 22/11/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.030 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my