PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) yang di ketuai Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim memandang berat dan serius gara-gara dan amalan menggunakan lambang parti politik pada kampit-kampit beras, gula, tepung dan bahan- bahan bantuan kebajikan yang disampaikan kepada pengundi. Ini adalah pada hakikatnya satu bentuk rasuah yang dilibatkan dalam tempoh pilihan raya umum kini.
Tan Sri Rais menyatakan baru-baru ini terdapat beribu-ribu kampit beras dicap dengan lambang parti politik tertentu sebelum dihadiahkan kepada rakyat di kampung-kampung luar bandar dan kampung baharu, rumah pangsa dan tempat-tempat lain.
Beliau menegaskan sebarang bantuan untuk rakyat hendaklah bebas daripada simbol-simbol badan politik kerana ini berupa satu bentuk sogokan dan pengaruh tumbuk rusuk agar undi diberi kepada parti tertentu sahaja sekaligus mencabul dan melanggar undang-undang antirasuah negara.
Barangsiapa yang menerima bungkusan, kampit beras atau makanan sedemikian, dimohon agar lekas membuat laporan polis atau terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Harga diri demi demokrasi, kata beliau jauh lebih berharga daripada sekampit beras dan sebotol minyak masak.
Rais juga menekankan supaya SPR lebih cakna menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dalam pemantauan ini.
Pengerusi JKMR itu mengingatkan dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SPRM agar siapsiaga dan bertindak mencegah perbuatan antikeluhuran undang-undang ini. Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap suasana pada masa ini yang seolah-olah menunjukkan perbuatan sogok-menyogok yang berleluasa sehingga wujud semacam berleluasanya pesta budaya rasuah. - TAMAT
3 November 2022
Parlimen Malaysia
Kuala Lumpur
Kemaskini terakhir pada: 3 November 2022 | Hits: 2391