Majlis Penyerahan Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Bangunan Parlimen Malaysia (Fasa 2B) Tidak Termasuk Skop ICT telah disempurnakan pada hari Rabu, 20 Disember 2017 di Dewan Bankuet, Blok Utama, Parlimen Malaysia. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ir. Kamaluddin bin Hj. Abd Rashid kepada wakil Parlimen Malaysia, YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman selaku Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia.
Kerja-kerja baikpulih telah dijalankan secara berfasa dan Fasa 2B ini adalah antara yang telah dirancang untuk memastikan bangunan warisan ini kekal relevan untuk 50 tahun akan datang. Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman dengan kos hampir RM 191 juta. Kontraktor utama, Trans Resources Corporation Sdn. Bhd telah dilantik melalui perolehan secara Tender Terbuka Pra-Kelayakan secara Pakej. Pembinaan telah dimulakan pada 1 Ogos 2014 dan telah disiapkan secara berperingkat pada 28 Februari 2017 dan 31 Mac 2017. Keseluruhan skop projek telah disiapkan pada 31 Julai 2017 selepas 3 lanjutan masa diberikan.
Projek ini adalah unik kerana ia melibatkan kerja-kerja konservasi dan pemuliharaan sebuah bangunan lama, sebelum kemasan dan sistem peralatan M&E baru dapat disediakan bagi memenuhi keperluan terkini institusi Parlimen.
Antara skop projek dalam Fasa 2B ini adalah:
a) Membina blok sementara bagi menempatkan pelbagai bahagian di Parlimen semasa blok utama diubahsuai;
b) Menaiktaraf Dataran Parlimen bagi menyediakan fasiliti yang kondusif semasa upacara perasmian atau sambutan tetamu negara;
c) Kerja-kerja pengukuhan struktur bagi memastikan integriti struktur sedia ada terjamin;
d) Kerja-kerja senibina dan hiasan dalaman untuk memenuhi keperluan statutori dan kehendak ruang terkini serta menggambarkan imej serta status Parlimen terkini;
e) Kerja-kerja konservasi bagi mengembalikan ciri-ciri asal rekabentuk beberapa komponen pada tahun 1963; dan
f) Kerja-kerja naiktaraf peralatan mekanikal dan elektrik menggunakan teknologi terkini agar sejajar dengan kehendak teknikal masa hadapan
Kemaskini terakhir pada: 19 September 2018 | Hits: 16652