SEMUA AHLI PARLIMEN DIBENAR MASUK DEWAN RAKYAT DENGAR PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021
control 1control 2control 3


KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Semua Ahli Parlimen dibenarkan memasuki Dewan Rakyat hari ini untuk mendengar pembentangan Belanjawan 2021.

Keputusan itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan ketetapan Dewan Rakyat semalam yang mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen berada di dalam dewan semasa persidangan.

Anwar bangun membangkitkan perkara itu sebelum pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada kira-kira 4.20 petang.

Permohonan Anwar itu mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.  

Antara yang menyokong ialah Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Terdahulu, Anwar berkata semua langkah pencegahan bagi mengekang penularan COVID-19 telah diambil di bangunan Parlimen untuk memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan lancar.

“Ini sesi yang penting khusus untuk mendengar ucapan Belanjawan Menteri Kewangan untuk Speaker memberikan ruang Ahli-ahli Parlimen hadir (yang) menunggu di luar untuk masuk ke dalam dewan,” katanya.

Bung Moktar yang menyokong permohonan itu menyifatkan ia adalah cadangan paling baik kerana pembentangan Belanjawan 2021 adalah amat penting untuk wakil-wakil rakyat mendengarnya dengan teliti.

"Mengikut peraturan mesyuarat Seaker mempunyai kuasa untuk benarkan mereka masuk,” katanya apabila Azhar menjelaskan bahawa perkara itu telah diperhalusi dan dipersetujui secara konsensus oleh ketua-ketua Whip parti serta dibuat pemasyuran dalam Dewan Rakyat semalam.

Semalam, Dewan Rakyat mengambil ketetapan untuk membenarkan hanya 80 Ahli Parlimen menghadiri persidangan,yang terdiri daripada 41 blok kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas bagi memastikan kelancaran persidangan ketika pandemik COVID-19.

Keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Wabak COVID-19 yang turut dihadiri 10 ketua Whip parti.

PARLIMEN-SPEAKER (MASUK) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR

 

Turut menyokong ialah Tajuddin yang menyatakan bahawa terdapat banyak tempat kosong di dalam dewan dan memohon wakil rakyat yang berada di luar dewan dibenarkan masuk dengan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Lim pula memohon pertimbangan Azhar kerana yang membuat permohonan kali ini adalah Ketua Pembangkang dan bukannya Ketua Whip.

“Bolehlah kita pertimbangkan untuk satu hari, satu sesi, kerana belanjawan adalah antara hari yang paling penting untuk Parlimen… kalau nak laksanakan (mengehadkan 80 Ahli parlimen) kita laksanakan minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) berkata tindakan mengehadkan kehadiran Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat hari ini adalah bertentangan dengan demokrasi. 

“Semalam, Speaker bagi tahu bila ada undi belah bahagi semua dibenarkan masuk untuk mengundi, apa beza dengan hanya dengar ucapan paling lama tiga jam atau setakat dua jam, apa salahnya benarkan rakan-rakan kita di luar sana, ini bertentangan dengan prinsip demokrasi,” katanya.

Azhar kemudian menangguhkan persidangan selama lima minit bagi membolehkan semua Ahli Parlimen memasuki dewan untuk mendengar pembentangan Belanjawan 2021 dan berkata keputusan mengehadkan kehadiran kepada hanya 80 orang merupakan keputusan ketua whip secara konsensus.

“Saya ingin nasihatkan di masa hadapan, kalau dapat permintaan sebegini rupa, lebih baik saya diberi notis terlebih dahulu, saya tidak suka buat keputusan secara bersendirian, saya suka secara konsensus libat urus semua pihak,” katanya selepas semua Ahli parlimen memasuki dewan. -- BERNAMA


Kemaskini terakhir pada: 8 Disember 2020 | Hits: 8609

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 22/11/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.031 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my