PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
PROGRAM LAWATAN KERJA
YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT KE DEWAN NEGERI SELANGOR
KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2024: Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan meneruskan kerangka lawatan kerja ke Dewan Negeri Selangor pada 21 Ogos 2024. Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memulakan lawatan kerja ini ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di zon selatan pada 23 hingga 24 Julai 2024, zon utara pada 5 hingga 8 Ogos 2024 dan zon timur pada 11 hingga 13 Ogos 2024.
Sepanjang lawatan kerja Yang di-Pertua Dewan Rakyat ini, beberapa perkara telah dikenalpasti sebagai agenda utama dalam Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2024 pada September 2024 nanti, antaranya termasuk memperkasakan institusi legislatif melalui kerjasama dua hala antara Parlimen Malaysia, Dewan Undangan Negeri dan institusi eksekutif.
Selain daripada itu, semakan semula undang-undang lama, merakyatkan institusi legislatif, serta inisiatif melahirkan kepimpinan generasi baharu yang cakna akan ilmu ketatanegaraan dan pentadbiran negara turut diberikan perhatian. Perkembangan serta pembangunan ekonomi, penaiktarafan kemahiran serta kecekapan tenaga kerja melalui latihan TVET juga turut akan dibincangkan.
Lawatan kerja ke Dewan Negeri Selangor ini akan dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas YB Tuan Lau Weng San, Speaker Dewan Negeri Selangor dan lawatan sekitar Dewan Negeri Selangor. Lawatan ini akan diteruskan dengan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor di pejabat beliau.
20 OGOS 2024
BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
PARLIMEN MALAYSIA
Kemaskini terakhir pada: 21 Ogos 2024 | Hits: 725