PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
TEMPOH PERSIDANGAN DEWAN RAKYAT
Merujuk kepada laporan FMT bertarikh 3 Januari 2024 mengenai tempoh persidangan Dewan Rakyat. Adalah dimaklumkan bahawa Dewan Rakyat telah bersidang selama 68 hari pada tahun 2019. Manakala pada tahun 2020 dan 2021, Dewan Rakyat telah bersidang selama 55 hari dan 50 hari masing-masing. Bagi tahun 2022, Dewan Rakyat telah bersidang selama 33 hari sebelum Parlimen Ke-14 dibubarkan pada 10 Oktober 2022 sebaik Belanjawan 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat. Selepas PRU-15, Dewan Rakyat telah bersidang selama dua (2) hari iaitu pada 19 dan 20 Disember 2022.
Pada tahun 2023 pula, Dewan Rakyat telah bersidang selama 80 hari termasuk 19 hari untuk urusan Belanjawan 2023 (dari 24 Februari hingga 28 Mac) dan 6 hari untuk Mesyuarat Khas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (11 hingga 19 September 2023).
Manakala bagi tahun 2024, Dewan Rakyat dijadualkan akan bersidang selama 69 hari bermula pada 26 Februari.
Selain itu, Ahli-Ahli Dewan Rakyat turut terlibat dengan mesyuarat dan aktiviti yang dijalankan semasa persidangan Dewan Rakyat dan di luar persidangan Dewan Rakyat seperti berikut:
i. Jawatankuasa Pilihan termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC);
ii. Jawatankuasa Pilihan Khas;
iii. Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM); dan
iv. Kaukus Parlimen.
Dalam pada itu, Parlimen Malaysia semasa tempoh Parlimen tidak bersidang turut menganjurkan program-program sepanjang tahun yang turut melibatkan Ahli-Ahli Parlimen seperti berikut:
i. Speaker’s Corner;
ii. Parliament Lecture Series;
iii. Seminar dan Dialog;
iv. Persidangan Parlimen Belia; dan
v. Hari Terbuka Parlimen Malaysia.
KUALA LUMPUR
4 JANUARI 2024
PARLIMEN MALAYSIA
Kemaskini terakhir pada: 4 Januari 2024 | Hits: 1814