PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIRI PERTAMA PROGRAM PARLIAMENT LECTURE SERIES WAHANA MERAKYATKAN PARLIMEN KEPADA MASYARAKAT
27 Januari 2023, Kuala Lumpur – Program “Parliament Lecture Series 1.0: Resetting the Economy” yang dianjurkan oleh Parlimen Malaysia adalah sebuah wahana kepelbagaian demokrasi dan pengukuhan usaha cetusan minda rakyat.
Program yang dirangka sebagai siri syarahan bulanan ini juga bertujuan untuk mengetengahkan Parlimen sebagai wadah suara rakyat yang rencam selain menjadi medan semak dan imbang terhadap pelaksanaan dasar setiap kementerian (eksekutif). Selain itu, program ini menjadi sebuah medan ekspresi dan pertukaran buah fikir mengenai penyelesaian terhadap isu kritikal rakyat.
“Parliament Lecture Series” merupakan kesinambungan kepada program Syarahan Yang di-Pertua (“Speaker’s Lecture Series”) yang julung kali diperkenalkan oleh Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof pada 2019, sebagai pelaksanaan agenda reformasi parlimen badan perundangan tertinggi negara dan mendekatkan parlimen dengan masyarakat.
Syarahan yang mengetengahkan tema pembangunan ekonomi itu telah disampaikan oleh YAB Tun Musa Hitam, mantan Timbalan Perdana Menteri kelima di Malaysia, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 dan YB Mohd Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi.
Lebih 250 orang tokoh-tokoh yang terdiri daripada ahli parlimen rentas parti, dutaduta luar negara, tokoh-tokoh korporat, ahli dewan perniagaan, ahli akademik, pemimpin dan pegawai-pegawai kanan pentadbiran negara hadir ke “Parliament Lecture Series 1.0”. Turut hadir YB Tan Sri Dato' Mohamad Ariff Md Yusof, Yang Di-Pertua Rakyat ke-9, YBhg. Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, mantan Ketua Audit Negara, YBhg. Tan Sri Wahid Omar, Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, dan YBhg. Tan Sri Abdul Halim Ali, mantan Ketua Setiausaha Negara.
1 Dalam kerangka usaha merakyatkan parlimen, lebih banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi Kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) akan diadakan supaya institusi parlimen lebih terbuka melalui rundingan untuk memperhalusi isu akar rakyat termasuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), perdagangan dan hal ehwal luar negeri; hak asasi manusia dan hal ehwal perlembagaan; kesihatan, pendidikan, pembangunan komuniti dan sosial serta pembangunan luar bandar.
***
Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara
Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Kemaskini terakhir pada: 28 Januari 2023 | Hits: 2068