PARLIMEN MALAYSIA, 10 Disember 2020 (Khamis) - Parlimen Malaysia telah mengadakan ujian saringan COVID-19 kali ke-5 ke atas semua Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara serta warga kerja Parlimen Malaysia termasuk seluruh jentera petugas media, petugas parlimen dari kementerian, pekerja kontraktor pembersihan dan petugas keselamatan yang terlibat dengan urusan di Parlimen Malaysia sepanjang persidangan berlangsung.
Program saringan ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia yang diketuai oleh Dr. Murugesu Raju, Pegawai Perubatan Ketua Klinik Parlimen dan Penasihat Kesihatan Parlimen Malaysia. Langkah ini adalah diwajibkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan keputusan oleh YB Senator Tan Sri Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara dan YB Datuk Azhar Azizan Bin Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di Parlimen Malaysia khususnya dan negara amnya ketika berlangsungnya Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Majlis Parlimen Keempat Belas yang yang telah bermula dari 2 November 2020 hingga 23 Disember ini.
Seramai hampir dua ribu orang telah disaring dalam program ini yang diadakan setiap empat belas hari seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia. – BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT PARLIMEN MALAYSIA
Kemaskini terakhir pada: 14 Disember 2020 | Hits: 3934