YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT TERIMA KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN SPEAKER PARLIMEN HUNGARY
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- YB Tan Sri Dato’ Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat hari ini menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Speaker Parlimen Hungary Dr Lajos Olah di pejabatnya di Bangunan Parlimen, di sini.
Semasa pertemuan selama 30 minit itu, Johari dan Olah membincangkan isu semasa dan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Selepas perbincangan, Olah dijemput untuk menyaksikan persidangan Dewan Rakyat dan melawat Dewan Negara.
Sementara itu di Dewan Rakyat, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Puan Alice Lau Kiong Yieng yang mempengerusikan sidang pada masa itu mengalu-alukan Olah dan delegasinya untuk menyaksikan sesi persidangan itu.
“Dewan ini mengalu-alukan kehadiran mereka ke dewan yang mulia ini. Semoga dengan kehadiran Olah dan delegasi akan dapat mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara Parlimen Malaysia dan Parlimen Hungary,” katanya.
Terdahulu, Olah juga makan tengah hari bersama rakan sejawatnya YB Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat di pusat bandar Kuala Lumpur.
Olah sedang dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia bermula semalam.
sumber BERNAMA
📸 Parlimen Malaysia
Bahagian Komunikasi
Parlimen Malaysia
7 Jun 2023